Sunday, April 27, 2008

Antara Ujian Dunia yang Susah dan Ujian Akhirat yang Senang

ilmu dan tarbiyah perlu seiring agar ketenangan dirasai

Minggu-minggu kebelakangan ini adalah waktu yang dikatakan kritikal buat mahasiswa/i seluruh negara. Ia adalah fasa peperiksaan akhir. Peperiksaan yang menilai dan menguji sejauh mana kefahaman pelajar mengenai kuliah yang dipelajari selama lebih kurang 14 minggu. Pastinya pelbagai ragam ditemui. Yang susah dengan alasannya. Yang senang dengan hujahnya. Ia berbalik semula kepada sejauh mana persediaan pelajar itu.

Saya turut merasai akan fenomena itu. Menjadi lumrah sebagai seorang pelajar, mempunyai tanggungjawab menuntut ilmu dan berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kecemerlangan dan kejayaan. Saya juga seorang pelajar. Memiliki tanggungjawab tersebut dan menjiwai perasaan tersebut.

Keluh exam
Rata-rata pelajar yang saya jumpai ramai yang menyatakan ’ketakutan’ untuk exam, banyak mengeluh bimbang akan exam yang bakal dilalui. Takut-takut gagal. Jika gagal akan menjatuhkan pointer, ’apa kata mak ayah nanti’ dan banyak lagi alasan. Ada yang kadang-kadang tension yang amat sangat. Melepaskan tension dengan melepak di kedai-kedai dan banyak aktiviti lagi yang dirasakan dapat melepaskan tekanan exam.

Ada juga yang cuba-cuba mencari soalan-soalan jangkaan (soalan spot), bertanyakan pensyarah, mengphotostate soalan-soalan lepas, berdiscuss, bertanyakan kawan lain dan macam-macam lagi. Saya katakan di sini betapa bersungguhnya mereka ini untuk memastikan peperiksaan (ujian) yang bakal dilalui berakhir dengan jayanya.

Ujian sebenar
Saya sebenarnya jujur mengatakan pelik dengan ragam sebegini. Pelik benar. Suasana ini sebetulnya berlaku sejak awal-awal lagi. Sejak bermula semester awal lagi. Kerana jika berlakunya sebegini pada awal-awal lagi, maka rata-rata mereka sudah pasti tidak merasa bimbang dan takut menghadapinya.

Satu lagi yang saya lagi pelik. Kita menganggap peperiksaan yang dilalui sebagai satu ’sijil’ untuk kita melepasi kelulusan universiti. Untuk mendapat kerja mungkin. Dan bagi melepasi ujian tersebut perlulah lulus dengan baik. Tapi kenapa mereka tak menyedari tentang ujian sebenar yang sudah ’pasti’ dan ’wajib’ dilalui.

Ramai manusia hari ini bertungkus-lumus untuk dunia, sedangkan memandang remeh soal akhirat. Lihat sajalah situasi exam yang saya ceritakan di atas. Bermati-matian untuk kejar kejayaan dunia, tapi lupa akan kejayaan akhirat. Soalnya, kita sudah pasti akan menghadapi ujian sebenar kita iaitu ’soalan’ malaikat di kubur. Soalannya sudah jelas dan diberikan. Sudah ’bocor’. Tapi mengapa kita lihat ramai lagi manusia tidak bermati-matian untuk mencari jawapan untuk soalan itu bagi membolehkan mereka ini melepasi ujian akhirat.

Muhasabah
Bukanlah saya mahu menidakkan usaha-usaha mereka. Tapi biarlah seimbang kedua-duannya. Kalau kita boleh bersungguh-sungguh untuk dunia, masakan tidak boleh untuk akhirat? Kalau kita boleh usaha macam-macam untuk lepas peperiksaan, mengapa tidak pada ujian ke akhirat, iaitu syurga Allah?

Maka muhasabahlah. Sebelum nyawa kita diambil. Sebelum kematian menjemput. Selagi diri bernafas. Selagi mata belum terpejam..

Sunday, April 13, 2008

Sekelumit Coretan

(bersama adik-adik Pusat Bahasa Arab Nilam Puri sewaktu
program ramah mesra MPPUMNP)
Serasa lama juga tidak mengupdate blog saya ini. Sehari dua yang agak ribut menyesakkan diri untuk menyelesaikan satu dua komitmen yang memerlukan beberapa tenaga penting. Khamis lepas adalah kuliah terakhir saya bersama rakan-rakan Akademi Islam yang lain. Tak terasa akan tempoh tersebut. Rasa macam baru semalam sahaja isi pendaftaran subjek. Walau apa pun, inilah lumrah hidup. Yang datang akan silih berganti. Dan yang telah pergi tidak mungkin kembali, kerana hidup ini bisa ketemu hanya tiga perkara. Hari ini, semalam dan esok. Semalam sejarah, hari ini realiti, manakala esok penentunya.

Rata-rata seluruh warga mahasiswa di IPTA seluruh negara mula memasuki fasa-fasa kesunyian. Mula menatap kertas-kertas putih bergarit-garit hitam dan bercorak pelbagai. Ada yang bulat, empat segi dan macam-macam lagi. Nota-nota kuliah itu hampik remuk dilumatkan dalam kepala untuk menghadapi exam yang bakal menjelang atau yang sedang berlangsung.

Semalam, dengan sedikit masa yang terluang menyempatkan diri singgah ke Pesta Buku Antarabangsa yang berlangsung sejak seminggu lalu. Menunaikan pesan akhi di Jordan supaya mengirimkan beberapa jilid buku buat tatapan mereka. Katanya sudah mula rindu tulisan tangan rumi buatan Malaysia. Meninjau-ninjau, serasa lega lantaran masih ada manusia-manusia yang masih berjiwa ilmu di tanah air saya ini. Sempat membelek dan menyinggah di beberapa buah sudut syarikat buku. Satu dua buah tangan dibawa pulang.

Beberapa sahabat mula menegur saya berikutan sudah tidak lama mengemaskini blog saya. Cerpen yang masih belum kutemui penyelesaiannya. ”Bila lagi mahu terbit part 3?”, seorang sahabat baik bertanya tatkala makan petang. Aiman namanya. Saya menjawab : ”Ilham tak sampai lagi..” sambil tersenyum.

Berbaki dua assingment yang masih belum saya semangat untuk dibereskan. Cuma hari ini terasa sedikit bertenaga untuk selesaikannya. Rasa terkadang seperti perasaan malas menyelubungi sedangkan itu semua adalah kewajipan. Cuba-cuba beristighfar dan kembali muhasabah. Keseorangan barangkali mungkin dapat mengkoreksi diri. Di celah-celah kesibukan pastinya terselit ketenangan. Itu kata seorang ustaz saya.

Sekarang saya sudah bertemu jalan keluarnya. Exam, assingment, tugasan, komitmen, sibuk, malas, buntu dan seribu satu alasan nafsu perlu tidak dilayan. Terkenang kata-kata seorang ustaz yang pernah mengajar saya. Saya bertanya : ”Macamana kita mahu menyelasaikan sifat-sifat negatif yang ada dalam diri kita ni?..” jawab ustaz :
”Pertamanya, kamu nilai kembali apa yang kamu lakukan selama ini. Dan yang kedua, muhasabah kembali sejauh mana hubungan kamu dengan Tuhan..”

Noktah.

Selepas ini saya akan menyambung segala kerja-kerja saya yang tertangguh.

Terima kasih Tuhan!

Sunday, April 6, 2008

Takdir di Celahan Mimpi (Part 2)


Nukilan : Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

“Semalam Pak Usu kau telefon, katanya Tok Mah tenat kau tenat.” “Minggu depan kita ke rumah mereka di Kampung Tengah.” Mak Sufiah berkata suatu pagi.

“Lama dah ke sakitnya mak? Sakit apa?” soal Faiz semula. Tangannya mencatat-catat sesuatu di atas kertas. Kerja sekolah yang ditugaskan guru kepadanya dilaksanakan dengan tertib. Kadang-kadang dia menjeling ke luar rumah leka melihat kawan-kawannya bermain sepak raga.

“Entahlah, sakit tua la tu dah lama sakit dia.” Jawab emaknya. Faiz melihat ruang rumahnya. Di suatu sudut almari, tersusun pelbagai perhiasan termasuk bingkai gambar-gambar kenangan keluarganya. Dia memandang sekeping gambar ayah dan emaknya. Di pangkuan emaknya, seorang bayi sedang lena tidur. Dia pasti bayi itu adalah dirinya.

“Mak..Adik nak tanya sikit boleh tak?” Faiz bersuara selepas diam sejenak.

“Hmm..tanyalah” Mak Sufiah menunggu persoalan anak tunggalnya.

“Lama dah ayah tak balik, ayah kerja apa mak?” Itulah tanda-tanya yang membelenggu fikirannya sejak dia mula dapat mengenal kehidupannya. Memang sedari kecil dia tidak merasai belaian kasih seorang ayah. Namun, kini setelah dia agak dewasa, barulah dia sedikit mengerti.

Mak Sufiah menoleh ke arah anaknya seraya merenung belas anak matanya.

“Ayah kau...mak sebolehnya tak nak ungkit kisah silam. Dulu...ayah kau tukang kait buah di ladang di Kampung Selamat. Sepuluh tahun dia kerja dengan tokey Wong Foo. Ayah kau alim orangnya. Selalu pergi surau, Al-Qur’an tak pernah lupa dibacanya lepas solat fardhu. Tapi entah macam mana ada orang dengki dengan dia, ditaburnya fitnah...” Mak Sufiah sebak.

“Apa jadi dengan ayah, mak?” Faiz bertanya.

“Suatu hari nanti kau sendiri akan tahu, nak.” Mak Sufiah terus meninggalkan anaknya keseorangan di meja.

17 Safar 1427 Hijrah, Khamis.

Tengahari selepas solat zohor, Faiz bertandang lagi ke pondok orang tua di pinggir hutan. Masuk hari ini, sudah lima kali di ke sana. Dia rasa ada satu kelainan apabila duduk berbual-bual dengan orang tua itu. Tenang dan tenteram. Dia sendiri tidak mengerti perasaan yang membelenggu hatinya. Dia sudah merasakan orang tua itu seakan ayahnya.

“Anakku, waspadalah engkau dengan dunia ini. Di dalamnya penuh dengan tipu daya dan keseronokan.” Faiz mendengar penuh minat bait-bait perkataan yang terluah dari mulut orang tua itu.

“Anakku, kadang-kadang sesuatu yang berlaku itu, perit untuk kita terimanya. Dan kadang-kadang juga kita tak menyangkanya. Tapi sebenarnya ia dekat dengan diri kita dan penuh hikmah disebaliknya..”

“Apa maksud pak cik?” Kata-kata yang penuh erti itu mahukan tafsiran.

“Anakku, Faiz. Manusia hidup tak lama. Kaya ke, atau miskin seseorang tu. Malah berpangkat sekalipun, apabila tiba seruan Allah, pasti akan diambil nyawanya. Tiga perkara yang ikut sama kita ke kubur, keluarga, harta dan amalan. Namun hanya satu sahaja yang bisa menolong kita. Itulah amal soleh yang kita kerjakan di dunia.” Panjang dan dalam pengertian yang diungkapkan orang tua itu.

“Pak cik, betulkah dunia ini penuh fitnah?” soal Faiz.

“Benar, nak. Dunia itu sendiri fitnah. Dan kaulah anakku mesti membebaskan fitnah itu. Itu tanggungjawabmu.” Balas orang tua.

“Tanggungjawab? Macamana tu..?” tanya Faiz lagi.

(bersambung)

Syahdu


oleh : Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Oh Tuhan syahdu nian maya-Mu ini
Namun syahdu lagi cinta-Mu
Kesyahduan-Mu tiada bisa terurai
Dek segala insan maya ini

Mataku melihat sang ombak
Menongkah buih di lautan
Lambaian nyiur selembut gemalai jejari
Bagai menggamit ku kesana
Telinga ini mendengar
Bisikan bayu kicauan burung
Desiran ombak menyentuh hatiku ini
Laranya hati mendambakan cinta-Mu

Oh Tuhan akan ku ta'zim kemuliaan-Mu
Akan ku semat keagungan-Mu
Agar terbuka segala pintu hati ini
Bersama belas hidayah-Mu

"Ya Allah..Engkaulah Tuhan-ku
Tidak ada Tuhan kecuali Engkau sahaja
Engkau yang Menciptakan diriku
Aku hanyalah hamba-Mu
Aku berusaha sedaya upayaku untuk memegang janji-Mu.."

Aku berlindung kepada-Mu Ya Allah..
Akibat daripada kejahatan yang terlanjur yang telah aku lakukan
Ya Allah aku mengaku nikmat-Mu kepada aku
Dan aku mengakui juga akan dosa-dosaku
Maka ampunilah aku
Tiada yang dapat mengampunkan dosa kecuali Engkau..."

Ya Allah..

Thursday, April 3, 2008

Selangor Baru : Bagaimana Khabarnya?


Dua, tiga hari kebelakangan ini, saya agak sibuk menguruskan beberapa program motivasi dan kemasyarakatan. Ke hulu dan ke hilir menyelesaikan itu dan ini. Alhamdulilah hari ini, lepas satu beban yang berat. Tapi di hadapan saya masih banyak lagi amanah yang belum selesai yang perlu dibereskan. Lebih-lebih lagi assingment yang agak bertimbun-timbun itu.

Walau apa pun, itu semestinya lumrah orang macam saya.

Di coretan ini hanya mahu melemparkan beberapa pandangan sisi tentang negeri Selangor yang saya cintai. Saya lahir di Kuala Lumpur, namun saya berpindah ke Gombak (Selangor) ketika saya berumur 10 tahun bersama keluarga. Meninggalkan bekas-bekas tempat saya bermain kejar-kejar bersama rakan di Kampung Keramat.

Selangor sewaktu dulu, dipimpin oleh Menteri Besar Dato’ Seri Khir Bin Toyo. Tapi sebelum itu, negeri ini dipimpin oleh Dato’ Muhammad Taib Muhammad. Namun, pada zaman Dato’ Taib, saya tak berapa tahu sangat, sebab masa itu, saya masih kecil. Zaman DS Khir Toyo, banyak pembangunan yang dilakukan beliau. Infrastruktur, medan-medan selera, kompleks dan sebagainya. Walaubagaimana pun, banyak jugak perkara-perkara tidak enak yang kedengaran. Seperti kes Bukit Cahaya Seri Alam yang digondolkan dan sebagainya. Gejala sosial? Itu sudah memang lumrah di kawasan-kawasan bandar..

Sepanjang itu, saya rasa macam tiada apa-apa yang istimewa di negeri saya ini. Entahlah, saya pun tak tahu. Mungkin kerana saya banyak hidup di negeri Terengganu, kerana saya bersekolah di situ. Hmm..ada! ada istimewanya. Mungkin saya boleh kata tempat seperti Ulu Yam itu istimewa dan menjadi persinggahan saya sekeluarga di kala free hujung-hujung minggu. Yang lain? Tak ada kot...

PRU 12 baru baru ini agak mengejutkan saya. Negeri saya, sudah jatuh di tangan parti alternatif. Terkejut...agak mengejutkan. PKR, PAS dan DAP bersatu membentuk kerajaan Selangor meninggalkan BN.

Tan Sri Khalid Bin Ibrahim yang mewakili PKR, Menteri Besar Selangor yang baru. Apabila dilantik sahaja sebagai MB baru, terus beliau umumkan bahawa bil air 20 meter awal adalah free. Terkejut saya sekeluarga. Rasa saya, sepanjang saya di bumi Selangor ini, inilah kali pertama beban utama rakyat diselesaikan kerajaan Selangor. Dan kedengaran lagi pendidikan percuma akan dijalankan selain tol yang ingin dihapuskan. Wah! ”Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri...” tapi ni bukan hujan batu dah, bahkan hujan mutiara, delima, emas dan macam-macam lagi..

Barulah saya terasa nikmatnya tinggal di Selagor kini. Hmm..tanah air la katakan.

Semoga ia berkekalan

Bersama Selangor Baru..Takbir!