Wednesday, October 7, 2009

Membasahkan Gerakan dengan Keimanan

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Sejak akhir-akhir ini, kelesuan mahasiswa Islam kampus menangani isu-isu ummah semakin ketara. Gerakan mahasiswa Islam seakan menjadi tumpul dan kurang bisa dalam berbicara lantaran beberapa perkara penting yang perlu diperhatikan buat semua ahli gerakan.

Kemanakah nilai asliyah kita yang sekian lama diperjuangkan. Medium usrah, mukhayyam dan liqa' fikr (perbincangan) yang dahulunya menjadi percikan ruh semangat perjuangan semakin kelam dan kurang dijalankan.

Kehilangan ahli-ahli yang komited, kekurangan ahli yang menjadi pembantu dalam gerak kerja dan pelapis yang boleh menduduki gerakan, mesti menjadi satu perhatian yang serius khsususnya kepada kepimpinan gerakan mahasiswa Islam hari ini.

Saya masih komited bahawa apa yang menjadi nilai utama penggerak kekuatan mahasiswa Islam kini adalah elemen ruhiyyah dan tarbiyyah jiwa mereka yang berkesan.

Sering kali juga saya ditanyakan "Siapa yang akan menggantikan kamu selepas ini?" Dan sering kali juga saya menjawab, "Insya Allah, sampai masa akan ada penggantinya. Yakinlah dengan Allah"

Keimanan Adalah Asas Kemenangan

Sejak dahulu lagi , Allah sentiasa mengajar para Rasul dan sahabatnya bahawa ketaqwaanlah kekuatan paling ampuh dalam mengalahkan musuh. Iktibar di dalam peperangan Badar sudah mencukupi betapa kekuatan Iman yang kecil boleh mengalahkan ribuan tentera yang ramai.

Apabila Allah s.w.t menganugerahkan kemenangan kepada Islam, satu lagi perkara yang ingin diajar oleh Allah kepada kita bahawa jangan sesekali leka dalam perjuangan tatkala ditimbuni dengan kesenangan dan kemudahan.

Kerana itulah Allah mengingatkan bahawa lakukanlah pohonan ampun kepadanya selalu dalam fasa-fasa kemenangan, takut-takut Allah murka dan kita alpa.

Kepimpinan Tunjang Gerakan

Walaupun Allah memaklumkan bahawa setiap manusia di muka buni ini dipertanggungjawabkan sebagai pimpinan, namun di sana Allah tetap meletakkan darjat setiap pimpinan itu sentiasa berbeza antara mereka. Seperti firman Allah: "Dan Dialah yang menjadikan kepada kamu semua khalifah (pimpinan) di muka bumi, dan mengangkat antara mereka beberapa darjat (yang membezakan) antara satu sama lain".

Setiap kali menyebut tentang kepimpinan, sentiasa saya bergetar kerana mendengarnya. Kerana saya juga pemimpin kepada pelajar. Sering kali saya teringat akan ungkapan seorang tokoh dalam gerakan Islam yang sangat saya segani, Prof Dato Zulkifli Muhd.

Beliau ada berpesan: "Dalam perjuangan saya, sama ada Islam kalah atau menang dalam pilihan raya, bukan soal saya, yang saya mesti sedar sebelum meninggal dunia ini, saya mahu menjalankan amanah Allah s.w.t. saya hamba-Nya menjalankan kerja itu, menjadi tanggungjawab saya.."

Betapa amanah itu sangat besar untuk dilaburkan di Akhirat kelak. Namun berdoalah untuk melaksanakannya. Pesanan untuk semua pimpinan.

Bangkit dengan Keimanan

Sudah sampai masanya masyarakat perlu dibasahkan kembali dengan nilai keimanan. Membetulkan ketidak fahaman sedikit demi sedikit, supaya Islam akan bangkit dengan kesedaran dan kefahaman. Bukan bangkit dengan kuasa dan keraguan.

Sampaikanlah Islam walau sedikit dan sekejap. Tidak dapat semua, jangan ditinggalkan semua.

Akademi Pengajian Islam
(7 oktober, 8.39 p.m, Rabu)

1 comment:

fatin nasibah said...

salam..
lama x dgr tazkirah dari ust aizat..
syukran..bleh refresh balik enjin ni