Monday, January 18, 2010

Kerelevenan e-undi dalam pilihan raya

Dalam menuju ke era teknologi maklumat dan informasi (ICT), Malaysia juga tidak ketinggalan dalam melaksanakan pelbagai aplikasi elektronik yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat melalui aplikasi perdana e-kerajaan menerusi projek Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia).

Pelancaran e-kerajaan sememangnya mampu meningkatkan lagi mutu pentadbiran di dalam kerajaan serta kaedah menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Aplikasi e-kerajaan juga bertujuan meningkatkan mutu dan interaksi kerajaan dengan rakyat serta pihak swasta.

Pelbagai kemudahan disediakan oleh e-kerajaan termasuk pembayaran bil kemudahan asas, semakan saman trafik, penghantaran tender kerajaan dan pendaftaran perniagaan dapat dilakukan secara terus dalam talian. Dan kini, dalam bahang Pilihan Raya Umum, mungkinkah Malaysia akan mengikut jejak negara maju yang mengaplikasikan undi secara elektronik atau e-undi di masa depan?

Menurut Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman, Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan e-undi dalam pilihan raya di negara ini. "Ini kerana, jika kita tidak benar-benar bersedia, sistem ini boleh menimbulkan masalah daripada pihak ketiga seperti penggodam komputer," katanya.

Katanya, tahap celik ICT penduduk negara ini juga masih belum mencapai tahap maksimum yang tentunya akan menimbulkan masalah jika mesin mengundi itu tidak mesra pengguna. Beliau berkata, walaupun Malaysia telah maju dalam bidang perbankan elektronik (e-perbankan) tetapi ia merupakan sistem yang dikendalikan secara komersial.

Berbanding dengan sistem e-undi, ia akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang seharusnya perlu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem baru tersebut.

Apakah e-undi?

E-undi merujuk kepada proses pembuangan undi dan pengiraan undi yang dilakukan secara elektronik dengan pengundi tidak lagi perlu memangkah di kertas seperti kaedah yang digunakan sekarang. Ia telah digunakan di beberapa negara luar seperti Amerika Syarikat, Australia dan Brazil.

Sistem undian seperti punch card dan kad imbasan optikal juga dikira sebagai menggunakan kaedah elektronik.

Terdapat beberapa kaedah mengundi secara elektronik termasuk:

  • Mesin mengundi (sistem skrin sentuh atau mesin elektronik rekod terus (DRE).
  • Internet
  • Telefon dan telefon mudah alih
  • Pembantu digital peribadi (PDA)
  • Televisyen digital

Tempat mengundi

Terma ini merujuk kepada sistem lokasi pengundi membuang e-undi di dalam stesen mengundi atau lokasi yang diselia oleh pegawai pilihan raya. Sistem berkenaan termasuk mesin undi DRE yang merekodkan undian secara elektronik tanpa penggunaan Internet atau rangkaian lain.

Antara muka mesin DRE boleh jadi pilihan butang, skrin sentuh atau pengimbas yang mengimbas kertas undi. Terdapat sistem DRE yang menggunakan sistem kad leret atau katrij yang perlu diaktifkan sebelum undian dimulakan. Undian akan disimpan dalam kad memori, cakera padat atau peralatan memori lain.

Masalah yang mungkin dihadapi

Selaras dengan kemajuan teknologi, pengundi perlu diberikan pilihan mengundi yang sesuai dengan gaya hidup mereka dan ia mungkin boleh dilaksanakan di negara ini dalam pilihan pilihan raya selepas ini. Bagaimanapun, pelaksanaan e-undi, mungkin juga boleh menimbulkan beberapa masalah seperti keselamatan, sistem pengkomputeran gagal berfungsi, pengodaman, ancaman virus, pengguna berasa kekok dan sebagainya.

Dalam perkembangan ICT masa kini, tidak terdapat jaminan program tidak boleh dimanipulasi dan menghasilkan penyimpanan dan cetakan yang berlainan berbanding di skrin. Isu keselamatan lain termasuk memastikan semua pengundi dibenarkan membuang undi dan memastikan selepas itu undi akan disimpan dan dikira dengan tepat. Masalahnya pengundi juga perlu diyakinkan mengenai sistem e-undi.

Apabila melaksanakan sistem e-undi ini, pengundi perlu diyakinkan mengenai tahap kerahsiaan selepas mereka membuang undi kerana pengundi tidak mahu undian mereka diketahui ramai. Dalam konteks e-undi mudah alih, hanya mereka yang mendaftar dan pengundi yang sah dibenarkan membuang undi.

Pengundi yang sah akan diberikan Nombor Pengenalan peribadi (PIN), Nombor Transaksi (Tan) atau tandatangan digital sebelum dibenarkan mengundi. Bagi mengelakkan undian dilakukan lebih daripada sekali atau disalah guna, semua undian perlu direkodkan dan diperiksa bagi memastikan pengundi yang telah mengundi tidak boleh mengundi lagi.

Biometriks

Di masa hadapan, biometriks mungkin juga boleh digunakan bagi memastikan identiti dan menggantikan kod PIN dan kata kunci. Sistem mengundi tradisional telah dibangunkan bagi memastikan prinsip mengundi, kebebasan mengundi, kerahsiaan, undian tidak boleh diubah dan mengurangkan kesilapan semasa proses pengundian. Sistem e-undi perlu direka dan beroperasi bagi memastikan ketelusan dan keselamatan operasi mengundi.

Sistem e-undi perlu menepati beberapa garis panduan seperti memastikan hanya pengundi berdaftar mengundi, semua undi dikira, hak pengundi membuat pilihan mereka tanpa sebarang pengaruh, melindungi rahsia undian dan kemudahan mengundi pengundi orang kurang upaya (OKU). Apa yang penting, e-undi ini, sekiranya dilaksanakan pada masa akan datang, sekurang-kurangnya mengurangkan pergantungan kepada kaedah konvensional dan seharusnya ia merupakan sistem yang diyakini oleh semua terutama calon dan pengundi.

2 comments:

Koh said...

Mr Aizat Salleh,

Hi I'm Koh from an online news portal. I wish to ask you about the petition and demonstration against campus E-Vote organised by BANTAH. May I have your contact no. please?

My email add.:
kame_ahiru0712@hotmail.com
Look forward to ur reply. Thank you!

Koh

Koh said...

Mr Aizat Salleh,

Hi I'm Koh from an online news portal. I wish to ask you about the petition and demonstration against campus E-Vote organised by BANTAH. May I have your contact no. please?

My email add.:
kame_ahiru0712@hotmail.com
Look forward to ur reply. Thank you!

Koh