Thursday, January 29, 2009

Meneruskan Momentum Tarbiyah di Fasa Kemenangan

Kesyukuran dipanjatkan kepada Allah kerana Pro-Mahasiswa kembali mengambil-alih kembali tampuk kepimpinan MPMUM setelah sekian lama berada di bawah kepimpinan aspirasi. Sebetulnya, Allah mahukan uni perdana ini kembali berseri dengan syiar-syiar Islam dan nilai-nilai murni keadilan, kebajikan dan kesejahteraan disamping perpaduan antara masyarakat kampus. Ia sedikit-sedikit mula bersinar cerah.


Hingga saat coretan ini ditulis, masih lagi terbayang-bayang di ingatan saya saat manis kemenangan diumumkan di Dewan Tunku Canselor (DTC) pada tanggal 19 Januari 2009. Ia sungguh sukar dilupakan.


Kejayaan adalah Hasil Kekuatan Tarbiyah Ahli Gerakan

Tidak dinafikan lagi, seluruh ahli gerakan berperanan dalam menerajui kemenangan ini. Bermula dari ketua jentera, calon-calon, kempen, yang mengecat banner, yang mengedarkan risalah kesedaran, yang menyampaikan dan mewar-warkan agenda perubahan kepada rakan-rakan lain, yang menulis artikel, yang menjaga keselamatan ahli-ahli, para bloggers, yang sentiasa mendoakan, yang menyumbangkan kewangan hinggalah kepada yang menyediakan makanan untuk para petugas. Semua ini ada terpercik basahan keringat mereka dalam kemenangan ini. Justeru benarlah kata Imam Al-Banna : “tiadalah Islam itu melainkan dengan berjamaah” (berkumpulan dan berperanan satu sama lain).


Antara budaya kerja ahli-ahli gerakan kita, saya melihat kuatnya mereka ini bergantung kepada Allah. Kerja lebihan masa dan on-time atau on-job antara lain juga menjadi salah satu sikap kerja ahli gerakan khususnya di UM ini. Dalam satu masa, kita nampak seorang ahli ini tekun menyampaikan kuliah maghrib di surau kolej kediaman, tetapi di waktu lain pula, dia juga aktif menampal poster serta mengedar risalah pendidikan dan kesedaran di fakulti-fakulti.


Semua ini adalah hasil didikan atau tarbiyah yang diterima dan diasuh kepada ahli gerakan ini sehinggalah mereka mencapai tahap tersebut. Basicly, program usrah adalah mediumnya. Ia menjadi penjana mencetuskan rohani yang segar dan terdidik, melahirkan jiwa yang besar dan kuat, memandu akal dan pegangan kepada matlamat penciptaan sehingga membenihkan aqidah perjuangan yang jelas dan kukuh untuk mencapai matlamat meninggikan syiar Islam.


Kemenangan Membuka Ruang Luas Menyampaikan Idea Islam

Mengambil kesempatan yang terbuka ini, ahli gerakan perlu segera menempatkan diri di setiap sudut, ruang dan peluang yang ada untuk menyampaikan idea faham Islam. Kolej-kolej kediaman sudah semesti ditingkat aktifkan semula peranannya yang bukan sekadar hanya sebagai tempat istirehat semata.


Seingat saya, pada tahun 1982 ketika zaman Ust Muhammad Hussin memimpin PMIUM, antara gerakan yang berjaya merevolusi masyarakat kampus adalah ‘gerakan ledakan ubudiyyah’. Elemen yang meledakkan prihatin dan minat warga kampus khususnya mahasiswa yang dahagakan roh-roh untuk mengisi jiwa mereka. Para mahasiswinya berjinak-jinak mengenakan pakaian yang lebih sopan dengan bertudung dan sehingga hari ini ia menjadi trend dan pakaian generasi kini.


Apa Tunggu Lagi!

Dengan berbekal segala persiapan yang ada, tarbiyah mesti diteruskan. Malah mesti diperkasakan lagi. Semua ahli perlu difahamkan dengan situasi dan ancaman yang bakal mendatang kelak. Strategi yang lebih strategik hendaklah disusun dengan rapi, khususnya memahami sistem tarbiyah dalam fasa kemenangan ini. Supaya kita mampu meninggalkan generasi-generasi yang kompeten untuk memimpin kampus menggantikan kita nanti.

Friday, January 23, 2009

Kemenangan Pro-Mahasiswa : Sebuah Nusrah Allah


Saya sungguh terharu dan sebak, tatkala pengumuman kemenangan calon-calon Pro-Mahasiswa di dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Malaya pada tanggal 19 Januari 2009 di dewan penuh bersejarah, Dewan Tunku Canselor. Usai sahaja TNC mengumumkan, laungan takbir serta slogan keramat mahasiswa menggegak bergema menggegar pelusuk dewan. Ia disambut dengan laungan doa wahdah yang penuh bersemangat. Sahabat saya, Qayyum berbisik: "Inilah kali pertama setelah hampir 6 tahun dewan ini sunyi dari laungan kalimat besar Allah.." Saya menitiskan air mata dan memeluk erat sahabat saya. Sungguh terasa keagungan Tuhan.

Hari mengundi, sekitar empat pagi, kami seramai hampir 200 aktivis yang cintakan kemenangan Islam menyertai munajat perdana di dataran hadapan DTC. Terasa sangat kerdil dan kecilnya kami ini. Hari ini adalah penentu jatuh bangunnya Islam di UM. Andai kalah, kami sudah begitu redha dengan ketentuan Allah s.w.t. terhadap kami. Namun, putus asa kami tidak sekali. Pagi itu dengan linangan air mata harapan, kami bermunajat. Dengan alunan zikir taubat terhadap dosa-dosa kami yang memungkinkan kami dihalang mencapai kemenangan serta menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah s.w.t. Hamparan sejadah basah digenangi air mata kami diselangi suara serak sendu tangisan harapan.


Segala usaha, keringat, penat lelah telah dihabiskan selama hampir satu minggu berjuang. Bermacam cabaran dan ujian kami lalui. Dihalang berkempen di kolej-kolej, sehingga diugut dan dijatuhkan maruah. Semuanya kami hadapi dengan sabar dan tabah. Sehinggakan, beberapa sahabat yang sudah mengeluh dan merungut; "Ya Tuhan!..beratnya cabaran ini..bolehkah kita menang kali ini?"

Mengharapkan Kekuatan Sahaja Tidak Mampu
Jika diukur kempen-kempen yang kami lakukan serta ditambah lagi dengan sekatan-sekatan serta halangan-halangan yang mendatang, kami rasakan masih jauh lagi kami di ambang kemenangan. Yang kami harapkan keajaiban berlaku, yakni perubahan dari pengundi sendiri. Hampir tidak tersedar, sudah tinggal hanya sehari lagi sebelum hari pengundian. Namun, masih banyak lagi kolej-kolej kediaman yang belum kami tembusi pelajarnya. Kami hanya dibenar berkempen di dewan makan, dengan waktu-waktu tertentu. Kadang-kadang hanya ada lima atau enam orang satu-satu waktu.

Saya pesan kepada semua sahabat-sahabat yang bersam saya, banyakkan bertawakkal, banyakkan mengharap dari Allah. Kekuatan kita saja belum cukup untuk meraih kemenangan yang sistemnya seratus-peratus dikawal pihak musuh. Apa yang ada lagi, hanya pertolongan Allah.

Detik Kemenangan, Satu Janji Allah
Di dalam munajat dua hari sebelum mengundi, kami diwajibkan membaca Surah Al-Fath, surah yang menceritakan kemenangan umat Islam menawan kembali Kota Makkah dalam peristiwa yang dinamakan Fathu al-Makkah. Sebuah janji Allah yang tidak pernah dilupakan. Kerana sebelum dari itu, Rasulullah telah bermimpi akan memasuki Kota Makkah dengan keadaan yang sangat aman.

Allah mengotakan janjinya, kerana Dia tidak pernah sekali memungkiri janji. Tiada sebarang pertumpahan berlaku dalam peristiwa ini. Kisah ini kembali berulang buat kami, pejuang yang cintakan Agama Allah s.w.t. Sebuah coretan yang membibitkan semangat dan kekuatan untuk kami terus bangkit meneruskan perjuangan.

Kemenangan Semua, Tarbiyah Tetap Tidak Dilupakan
Kita jelas dengan aqidah perjuangan. Perjuangan jihad di medan PRK adalah menifestasi tarbiyah yang menjadi manhaj sekian lama yang melahirkan ribuan kader-kader dakwah serta menerapkan nilai-nilai murni keIslaman dengan penuh kasih-sayang buat seluruh warga kampus. Kemenangan ini adalah nilaian tarbiyah kita. Kekuatan pergantungan ,serta amal Islami yang berisi keberkatan dan bibit-bibit berukhuwwah menjadi pasakan utama yang menghiasi kemenangan.
Janganlah kita dilekakan dengan kemenangan. Banyakkan memuji serta beristighfar kepada Allah. Ingatlah, kemenangan kita, bukan kemenangan usaha kita semata. Tanpa redha dari Allah dan pergantungannya, maka tidaklah kita menemuinya sesampai ini. Jangan dilupakan kerja-kerja 'lama' kita walau sudah bergelar 'kerajaan'. Platform ini, diberikan Allah untuk memudahkan melaksanakan gerak kerja Islam, tanpa merasakan ada kepentingan walau sedetik pun.

Semoga Allah memberkati kemenangan kita.

Bersama mengisi kemenangan.
Allahu Akbar!

Saturday, January 17, 2009

Pilihan Raya Kampus : Kita Semakin Jauh

Assalamualaikum wrt wbt.

Terkejut dan sedih. Itulah gambaran apabila saya menjejak kaki ke dalam surau APIUM untuk melihat bangkai kepala babi yang diletakkan di surau. Saya tak sangka, masih ada lagi manusia-manusia sebegini yang masih 'teringin' untuk buat perkara-perkara macam tu!

Petangnya, saya sempat berjumpa sahabat saya dari UMANY, saudara Gohan. Saya minta pandangan dia tentang isu ini. Dia tak dapat nak kata apa kerana sangat teruk! Katanya lagi, orang-orang Buddha pun, mereka diharamkan untuk membawa bangkai babi ke dalam tokong mereka. Ia berdosa mengikut agama mereka.



Ini pula di dalam surau. Tempat orang- orang Islam bersolat, rumah suci dan terpelihara. Lebih menyedihkan, ia berlaku pada hari Jumaat.


Justeru itu, saya berpandangan isu ini adalah satu cubaan pihak tertentu yang mahu menimbulkan provokasi dan sentimen agama dan perkauman di UM yang tercinta. Kita sesekali tidak memaafkan orang yang melakukan sedemikian. Namun, buat masa yang ada, jangan bawa berita dan khabar dari pihak-pihak ketiga atau individu yang dengki kepada kesejahteraan dan kemanusiaan dan cuba memecah-belahkan kaum dan agama.

Yang penting, teruskan berkempen untuk membawa perubahan yang lebih baik. Jangan dihanyutkan dengan isu-isu picisan.

Salam Perubahan!

Wednesday, January 14, 2009

Selamat Berjuang, Kemenangan Semakin Dekat!

Assalamualaikum.

Hari ini, 14 Januari 2009, bakal menjadi sejarah Universiti Malaya. Hari penamaan calon bagi semua kerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa dijalankan.

Di peringkat Pro-Mahasiswa, awal-awal lagi kita sudah menyatakan bahawa kehadiran semua calon di dalam PRK ini adalah untuk menang. Tiada kata lain. Barisan calon-calon yang diumumkan malam tadi, memang tidak boleh dipertikaikan kredibiliti mereka. Bermula dengan aktivis, begitu juga mantan JTK dan JIK Kolej kediaman, seterusnya pergi kepada mahasiswa biasa, semuanya bakal menarik sokongan ribuan mahasiswa yang mahukan harapan dan perubahan.

Bersedia menanti sebarang kemungkinan. Kemenangan semakin dekat. Cahaya kegemilangan sudah menyerlah.

Maka benarlah janji Allah dalam Surah Al-Fath:
"Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.."

Selamat berjuang.
Kemenangan sudah hampir menjelang.
Pro-Mahasiswa memimpin kampus.

Allahu Akbar!
Allahu Akbar!
Allahu Akbar!

Student Power!!

Saturday, January 10, 2009

Semoga Boleh Jawab di hadapan Allah kelak

Petang tadi, bersama-sama hampir 3000 mahasiswa berarak dan berkumpul di hadapan kedutaan Mesir bagi meyetakan bantahan terhadap tindakan Mesir yang menutup sempadan bagi kemudahan pelarian-pelarian Palestin mendapatkan bantuan.

Bermula di Masjid As-Syakirin, dengan bangkitan semangat pidato wakil-wakil mahasiswa, kami mula berjalan secara perlahan menuju ke Jalan Ampang dan seterusnya ke arah Jalan U-Thant. Tak terasa penatnya berjalan kerana diiringi laungan-laungan jihad dan pembakar perjuangan Islam. Tak sedar yang kami sudah melepasi hampir tiga kilometer perjalanan.

Peluh memercik. Badan terasa panas. Tekak mahu dibasahi dengan air, namun kami tetap meneruskan agenda kami. Memorandum dihantar melelui wakil kedutaan Mesir. Ia diterima dengan baik.


Saya teringat, sebelum pergi, kami diingatkan agar memakai pakaian berwarna hitam. Wah! warna yang perit apabila berhadapan dengan cuaca panas, maklumlah warna hitam menyerap haba, mengikut teori saintifiknya. Namun teori perjuangan tiada apa yang memanaskan jika dibandingkan Islam dihina, serta saudara-mara kita bermandi darah di sana.
"Baru jalan tiga kilo je ni.. Belum lagi angkat senjata..", sahabat saya menegur tatkala nampak saya agak keletihan.

Ia membawa saya kepada satu kisah ketika Nabi Allah Ibrahim a.s hendak dibakar oleh tentera-tentera Namrud kerana dituduh memusnahkan Tuhan mereka. Terbang seekor burung berulang-alik dari sebuah sungai ke tempat Nabi Allah itu dibakar. Kecil je burung itu, namanya burung ciak. Apalah sangat air yang dibawa di mulutnya jika nak dibayangkan dengan api yang membakar. Namun, apabila haiwan lain bertanya, burung itu menjawab: "Sekurang-kurangnya ada usaha aku untuk aku selamatkan Nabi Allah itu, moga aku harap boleh jawab di hadapan Allah nanti kalau ditanya.."

Agak-agak, apa sumbangan kita untuk Palestin..?

Wednesday, January 7, 2009

Pra-Syarat Kemenangan Kita


Gerakan Mahasiswa Islam kampus, rata-rata kini sudah bersiap sedia untuk menghadapi medan jihad (pilihan raya kampus) yang bakal berlaku sekitar pertengahan bulan Januari tahun hadapan. Persediaan perencanaan strategi, kekuatan ahli, penguasaan terhadap pengaruh mahasiswa dan sebagainya pastinya sudah dimulakan. Manakala semboyan ’perang’, awal-awal lagi sudah dilaungkan.


Memandang kepada situasi saat genting ini, beberapa pesanan penting ditujukan khas buat pendokong-pendokong GMI agar tidak alpa dan leka dengan kekuatan mereka. Sirah Nabi s.a.w sendiri telah membuktikan betapa tentera-tentera Islam hanya dibekali dengan keampuhan Iman yang mendalam kepada Allah s.w.t sebagai senjata utama untuk turun berjihad.

Berikut beberapa pesanan penting khusus taujihat buat ahli-ahli GMI dalam menghadapi medan jihad dan ia sebagai Pra-Syarat bagi mencapai kemenangan:


Gerakan Mahasiswa Islam sudah bersedia menerajui kepimpinan kampus


Meninggalkan Maksiat:

Ahli-ahli GMI sewajibnya menjadikan maksiat sebagai musuh utama mereka. Mengambil iktibar dari kata-kata pemimpin ulung khalifah Umar al-Khattab, beliau berpesan kepada tenteranya yang dihantar berperang: Aku berpesan kepada kamu dan mereka yang bersama kamu supaya bertakwa kepada Allah dalam semua keadaan. Sesungguhnya takwa kepada Allah adalah sebaik-baik bekalan menghadapi musuh, ia juga sekuat-kuat helah dalam perang. Aku berpesan kepada kamu dan tentera semua supaya kamu mengawal diri dan maksiat lebih daripada musuh kamu. Sesungguhnya dosa tentera-tentera (kita sendiri) itu lebih menakutkan dan musuh-musuh. Kemenangan kaum muslimin hanyalah dengan maksiat musuh-musuh Allah. Kalau tanpa demikian, kita tidak lagi ada kekuatan terhadap musuh, kerana bilangan kita tidak sepadan dengan mereka. Kalaupun kita sama dengan maksiat nescaya mereka itu akan lebih dan kita dalam kekuatan. Ketahuilah kamu bahawa dalam perjalanan kamu itu ada kawalan Allah. Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan. Malulah kamu kepada mereka dan jangan kamu lakukan maksiat kepada Allah sedangkan kamu berada pada jalan Allah”. Janganlah hendaknya maksiat-maksiat ini dilakukan oleh pendokong-pendokong GMI, agar kita terhindar dari kebencian Allah s.w.t.


Menghilangkan Belenggu Dunia dalam Diri:

Tiada kepentingan dan kelebihan yang jelas di dunia khusus buat ahli-ahli GMI yang benar-benar ikhlas berjuang semata-mata untuk meninggikan agama Allah s.w.t di kampus. Dalam situasi ini, ahli GMI sebolehnya cuba untuk tidak mengharapkan apa-apa imbalan hasil daripada jihad mereka sebagaimana sahabat-sahabat Nabi s.a.w terdahulu yang berjuang semata-mata kerana Allah. Umar al-Khattab pernah berkata kepada tenteranya: Aku hairan di atas kelambatan kamu menakiuk negeri Mesir setelah kamu berperang sejak dua tahun. Itu tidak lain kerana kamu menyintai dunia yang juga menjadi kesukaan musuh-musuh kamu. Allah Ta’ala tidak menolong sesuatu kaum itu kecuali atas niat mereka yang betul”. Justeru itu, bermula saat ini, perbetulkanlah niat kita berjuang dan sucikanlah hati daripada penyakit-penyakit sombong dan riya’.


Semoga Allah s.w.t memberkati dan berada di sepanjang jalan perjuangan yang kita lalui. Ingatlah, apa yang membezakan di antara kita dengan musuh kita hanyalah hubungan kita yang erat dengan Allah s.w.t setelah kekuatan lahiriah kita tidak dapat menandingi musuh. Dan kerana di sisi Allah sahajalah kekuatan-kekuatan ’bantuan’ serta kemenangan diberikan.


Salam Kemenangan

Salam Perubahan!

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh
Pro-Mahasiswa Universiti Malaya