Wednesday, January 7, 2009

Pra-Syarat Kemenangan Kita


Gerakan Mahasiswa Islam kampus, rata-rata kini sudah bersiap sedia untuk menghadapi medan jihad (pilihan raya kampus) yang bakal berlaku sekitar pertengahan bulan Januari tahun hadapan. Persediaan perencanaan strategi, kekuatan ahli, penguasaan terhadap pengaruh mahasiswa dan sebagainya pastinya sudah dimulakan. Manakala semboyan ’perang’, awal-awal lagi sudah dilaungkan.


Memandang kepada situasi saat genting ini, beberapa pesanan penting ditujukan khas buat pendokong-pendokong GMI agar tidak alpa dan leka dengan kekuatan mereka. Sirah Nabi s.a.w sendiri telah membuktikan betapa tentera-tentera Islam hanya dibekali dengan keampuhan Iman yang mendalam kepada Allah s.w.t sebagai senjata utama untuk turun berjihad.

Berikut beberapa pesanan penting khusus taujihat buat ahli-ahli GMI dalam menghadapi medan jihad dan ia sebagai Pra-Syarat bagi mencapai kemenangan:


Gerakan Mahasiswa Islam sudah bersedia menerajui kepimpinan kampus


Meninggalkan Maksiat:

Ahli-ahli GMI sewajibnya menjadikan maksiat sebagai musuh utama mereka. Mengambil iktibar dari kata-kata pemimpin ulung khalifah Umar al-Khattab, beliau berpesan kepada tenteranya yang dihantar berperang: Aku berpesan kepada kamu dan mereka yang bersama kamu supaya bertakwa kepada Allah dalam semua keadaan. Sesungguhnya takwa kepada Allah adalah sebaik-baik bekalan menghadapi musuh, ia juga sekuat-kuat helah dalam perang. Aku berpesan kepada kamu dan tentera semua supaya kamu mengawal diri dan maksiat lebih daripada musuh kamu. Sesungguhnya dosa tentera-tentera (kita sendiri) itu lebih menakutkan dan musuh-musuh. Kemenangan kaum muslimin hanyalah dengan maksiat musuh-musuh Allah. Kalau tanpa demikian, kita tidak lagi ada kekuatan terhadap musuh, kerana bilangan kita tidak sepadan dengan mereka. Kalaupun kita sama dengan maksiat nescaya mereka itu akan lebih dan kita dalam kekuatan. Ketahuilah kamu bahawa dalam perjalanan kamu itu ada kawalan Allah. Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan. Malulah kamu kepada mereka dan jangan kamu lakukan maksiat kepada Allah sedangkan kamu berada pada jalan Allah”. Janganlah hendaknya maksiat-maksiat ini dilakukan oleh pendokong-pendokong GMI, agar kita terhindar dari kebencian Allah s.w.t.


Menghilangkan Belenggu Dunia dalam Diri:

Tiada kepentingan dan kelebihan yang jelas di dunia khusus buat ahli-ahli GMI yang benar-benar ikhlas berjuang semata-mata untuk meninggikan agama Allah s.w.t di kampus. Dalam situasi ini, ahli GMI sebolehnya cuba untuk tidak mengharapkan apa-apa imbalan hasil daripada jihad mereka sebagaimana sahabat-sahabat Nabi s.a.w terdahulu yang berjuang semata-mata kerana Allah. Umar al-Khattab pernah berkata kepada tenteranya: Aku hairan di atas kelambatan kamu menakiuk negeri Mesir setelah kamu berperang sejak dua tahun. Itu tidak lain kerana kamu menyintai dunia yang juga menjadi kesukaan musuh-musuh kamu. Allah Ta’ala tidak menolong sesuatu kaum itu kecuali atas niat mereka yang betul”. Justeru itu, bermula saat ini, perbetulkanlah niat kita berjuang dan sucikanlah hati daripada penyakit-penyakit sombong dan riya’.


Semoga Allah s.w.t memberkati dan berada di sepanjang jalan perjuangan yang kita lalui. Ingatlah, apa yang membezakan di antara kita dengan musuh kita hanyalah hubungan kita yang erat dengan Allah s.w.t setelah kekuatan lahiriah kita tidak dapat menandingi musuh. Dan kerana di sisi Allah sahajalah kekuatan-kekuatan ’bantuan’ serta kemenangan diberikan.


Salam Kemenangan

Salam Perubahan!

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh
Pro-Mahasiswa Universiti Malaya

No comments: