Thursday, January 29, 2009

Meneruskan Momentum Tarbiyah di Fasa Kemenangan

Kesyukuran dipanjatkan kepada Allah kerana Pro-Mahasiswa kembali mengambil-alih kembali tampuk kepimpinan MPMUM setelah sekian lama berada di bawah kepimpinan aspirasi. Sebetulnya, Allah mahukan uni perdana ini kembali berseri dengan syiar-syiar Islam dan nilai-nilai murni keadilan, kebajikan dan kesejahteraan disamping perpaduan antara masyarakat kampus. Ia sedikit-sedikit mula bersinar cerah.


Hingga saat coretan ini ditulis, masih lagi terbayang-bayang di ingatan saya saat manis kemenangan diumumkan di Dewan Tunku Canselor (DTC) pada tanggal 19 Januari 2009. Ia sungguh sukar dilupakan.


Kejayaan adalah Hasil Kekuatan Tarbiyah Ahli Gerakan

Tidak dinafikan lagi, seluruh ahli gerakan berperanan dalam menerajui kemenangan ini. Bermula dari ketua jentera, calon-calon, kempen, yang mengecat banner, yang mengedarkan risalah kesedaran, yang menyampaikan dan mewar-warkan agenda perubahan kepada rakan-rakan lain, yang menulis artikel, yang menjaga keselamatan ahli-ahli, para bloggers, yang sentiasa mendoakan, yang menyumbangkan kewangan hinggalah kepada yang menyediakan makanan untuk para petugas. Semua ini ada terpercik basahan keringat mereka dalam kemenangan ini. Justeru benarlah kata Imam Al-Banna : “tiadalah Islam itu melainkan dengan berjamaah” (berkumpulan dan berperanan satu sama lain).


Antara budaya kerja ahli-ahli gerakan kita, saya melihat kuatnya mereka ini bergantung kepada Allah. Kerja lebihan masa dan on-time atau on-job antara lain juga menjadi salah satu sikap kerja ahli gerakan khususnya di UM ini. Dalam satu masa, kita nampak seorang ahli ini tekun menyampaikan kuliah maghrib di surau kolej kediaman, tetapi di waktu lain pula, dia juga aktif menampal poster serta mengedar risalah pendidikan dan kesedaran di fakulti-fakulti.


Semua ini adalah hasil didikan atau tarbiyah yang diterima dan diasuh kepada ahli gerakan ini sehinggalah mereka mencapai tahap tersebut. Basicly, program usrah adalah mediumnya. Ia menjadi penjana mencetuskan rohani yang segar dan terdidik, melahirkan jiwa yang besar dan kuat, memandu akal dan pegangan kepada matlamat penciptaan sehingga membenihkan aqidah perjuangan yang jelas dan kukuh untuk mencapai matlamat meninggikan syiar Islam.


Kemenangan Membuka Ruang Luas Menyampaikan Idea Islam

Mengambil kesempatan yang terbuka ini, ahli gerakan perlu segera menempatkan diri di setiap sudut, ruang dan peluang yang ada untuk menyampaikan idea faham Islam. Kolej-kolej kediaman sudah semesti ditingkat aktifkan semula peranannya yang bukan sekadar hanya sebagai tempat istirehat semata.


Seingat saya, pada tahun 1982 ketika zaman Ust Muhammad Hussin memimpin PMIUM, antara gerakan yang berjaya merevolusi masyarakat kampus adalah ‘gerakan ledakan ubudiyyah’. Elemen yang meledakkan prihatin dan minat warga kampus khususnya mahasiswa yang dahagakan roh-roh untuk mengisi jiwa mereka. Para mahasiswinya berjinak-jinak mengenakan pakaian yang lebih sopan dengan bertudung dan sehingga hari ini ia menjadi trend dan pakaian generasi kini.


Apa Tunggu Lagi!

Dengan berbekal segala persiapan yang ada, tarbiyah mesti diteruskan. Malah mesti diperkasakan lagi. Semua ahli perlu difahamkan dengan situasi dan ancaman yang bakal mendatang kelak. Strategi yang lebih strategik hendaklah disusun dengan rapi, khususnya memahami sistem tarbiyah dalam fasa kemenangan ini. Supaya kita mampu meninggalkan generasi-generasi yang kompeten untuk memimpin kampus menggantikan kita nanti.

1 comment:

Ummu Syazwina said...

Benar, itulah nusrah Allah swt. Tiada pengharapan dan pergantungan selain Allah. Tetapi kita perlu ade kelangsungan dalam pentarbiyahan dan pengabdian kita terhadap Allah swt.

Kebanyakan kita bersikap bermusim(bila benar2 memerlukan, rasa tiada jalan baru ingat ALlah...)

Seharusnya, dikalangan Ahli gerakan, sudah menjadi kebiasaan bagi mereka ..apa jua kerja, letakkan niat, usaha, dan pengharapan kerana Allah swt bukan kerana keterpaksaan, perlu dipujuk rayu dan sbgnya...

Selepas ini...

kefahaman ahli gerakan wajib diselaraskan, Pengagihan kerja perlu diberi penelitian sebaiknya mengikut kemampuan dan kepentingan tersendiri dan...

Sememangnya...
PERIBADATAN, KEUTAMAAN DAN PERGANTUNGAN PADA ALLAH WAJIB DIDAHULUKAN.

wallahua'lam

"ALLAH no 1."