Friday, January 23, 2009

Kemenangan Pro-Mahasiswa : Sebuah Nusrah Allah


Saya sungguh terharu dan sebak, tatkala pengumuman kemenangan calon-calon Pro-Mahasiswa di dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Malaya pada tanggal 19 Januari 2009 di dewan penuh bersejarah, Dewan Tunku Canselor. Usai sahaja TNC mengumumkan, laungan takbir serta slogan keramat mahasiswa menggegak bergema menggegar pelusuk dewan. Ia disambut dengan laungan doa wahdah yang penuh bersemangat. Sahabat saya, Qayyum berbisik: "Inilah kali pertama setelah hampir 6 tahun dewan ini sunyi dari laungan kalimat besar Allah.." Saya menitiskan air mata dan memeluk erat sahabat saya. Sungguh terasa keagungan Tuhan.

Hari mengundi, sekitar empat pagi, kami seramai hampir 200 aktivis yang cintakan kemenangan Islam menyertai munajat perdana di dataran hadapan DTC. Terasa sangat kerdil dan kecilnya kami ini. Hari ini adalah penentu jatuh bangunnya Islam di UM. Andai kalah, kami sudah begitu redha dengan ketentuan Allah s.w.t. terhadap kami. Namun, putus asa kami tidak sekali. Pagi itu dengan linangan air mata harapan, kami bermunajat. Dengan alunan zikir taubat terhadap dosa-dosa kami yang memungkinkan kami dihalang mencapai kemenangan serta menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah s.w.t. Hamparan sejadah basah digenangi air mata kami diselangi suara serak sendu tangisan harapan.


Segala usaha, keringat, penat lelah telah dihabiskan selama hampir satu minggu berjuang. Bermacam cabaran dan ujian kami lalui. Dihalang berkempen di kolej-kolej, sehingga diugut dan dijatuhkan maruah. Semuanya kami hadapi dengan sabar dan tabah. Sehinggakan, beberapa sahabat yang sudah mengeluh dan merungut; "Ya Tuhan!..beratnya cabaran ini..bolehkah kita menang kali ini?"

Mengharapkan Kekuatan Sahaja Tidak Mampu
Jika diukur kempen-kempen yang kami lakukan serta ditambah lagi dengan sekatan-sekatan serta halangan-halangan yang mendatang, kami rasakan masih jauh lagi kami di ambang kemenangan. Yang kami harapkan keajaiban berlaku, yakni perubahan dari pengundi sendiri. Hampir tidak tersedar, sudah tinggal hanya sehari lagi sebelum hari pengundian. Namun, masih banyak lagi kolej-kolej kediaman yang belum kami tembusi pelajarnya. Kami hanya dibenar berkempen di dewan makan, dengan waktu-waktu tertentu. Kadang-kadang hanya ada lima atau enam orang satu-satu waktu.

Saya pesan kepada semua sahabat-sahabat yang bersam saya, banyakkan bertawakkal, banyakkan mengharap dari Allah. Kekuatan kita saja belum cukup untuk meraih kemenangan yang sistemnya seratus-peratus dikawal pihak musuh. Apa yang ada lagi, hanya pertolongan Allah.

Detik Kemenangan, Satu Janji Allah
Di dalam munajat dua hari sebelum mengundi, kami diwajibkan membaca Surah Al-Fath, surah yang menceritakan kemenangan umat Islam menawan kembali Kota Makkah dalam peristiwa yang dinamakan Fathu al-Makkah. Sebuah janji Allah yang tidak pernah dilupakan. Kerana sebelum dari itu, Rasulullah telah bermimpi akan memasuki Kota Makkah dengan keadaan yang sangat aman.

Allah mengotakan janjinya, kerana Dia tidak pernah sekali memungkiri janji. Tiada sebarang pertumpahan berlaku dalam peristiwa ini. Kisah ini kembali berulang buat kami, pejuang yang cintakan Agama Allah s.w.t. Sebuah coretan yang membibitkan semangat dan kekuatan untuk kami terus bangkit meneruskan perjuangan.

Kemenangan Semua, Tarbiyah Tetap Tidak Dilupakan
Kita jelas dengan aqidah perjuangan. Perjuangan jihad di medan PRK adalah menifestasi tarbiyah yang menjadi manhaj sekian lama yang melahirkan ribuan kader-kader dakwah serta menerapkan nilai-nilai murni keIslaman dengan penuh kasih-sayang buat seluruh warga kampus. Kemenangan ini adalah nilaian tarbiyah kita. Kekuatan pergantungan ,serta amal Islami yang berisi keberkatan dan bibit-bibit berukhuwwah menjadi pasakan utama yang menghiasi kemenangan.
Janganlah kita dilekakan dengan kemenangan. Banyakkan memuji serta beristighfar kepada Allah. Ingatlah, kemenangan kita, bukan kemenangan usaha kita semata. Tanpa redha dari Allah dan pergantungannya, maka tidaklah kita menemuinya sesampai ini. Jangan dilupakan kerja-kerja 'lama' kita walau sudah bergelar 'kerajaan'. Platform ini, diberikan Allah untuk memudahkan melaksanakan gerak kerja Islam, tanpa merasakan ada kepentingan walau sedetik pun.

Semoga Allah memberkati kemenangan kita.

Bersama mengisi kemenangan.
Allahu Akbar!

1 comment:

cahaya said...

da menang ni..mantapkan la plak usrah kat um ni yer...