Saturday, January 10, 2009

Semoga Boleh Jawab di hadapan Allah kelak

Petang tadi, bersama-sama hampir 3000 mahasiswa berarak dan berkumpul di hadapan kedutaan Mesir bagi meyetakan bantahan terhadap tindakan Mesir yang menutup sempadan bagi kemudahan pelarian-pelarian Palestin mendapatkan bantuan.

Bermula di Masjid As-Syakirin, dengan bangkitan semangat pidato wakil-wakil mahasiswa, kami mula berjalan secara perlahan menuju ke Jalan Ampang dan seterusnya ke arah Jalan U-Thant. Tak terasa penatnya berjalan kerana diiringi laungan-laungan jihad dan pembakar perjuangan Islam. Tak sedar yang kami sudah melepasi hampir tiga kilometer perjalanan.

Peluh memercik. Badan terasa panas. Tekak mahu dibasahi dengan air, namun kami tetap meneruskan agenda kami. Memorandum dihantar melelui wakil kedutaan Mesir. Ia diterima dengan baik.


Saya teringat, sebelum pergi, kami diingatkan agar memakai pakaian berwarna hitam. Wah! warna yang perit apabila berhadapan dengan cuaca panas, maklumlah warna hitam menyerap haba, mengikut teori saintifiknya. Namun teori perjuangan tiada apa yang memanaskan jika dibandingkan Islam dihina, serta saudara-mara kita bermandi darah di sana.
"Baru jalan tiga kilo je ni.. Belum lagi angkat senjata..", sahabat saya menegur tatkala nampak saya agak keletihan.

Ia membawa saya kepada satu kisah ketika Nabi Allah Ibrahim a.s hendak dibakar oleh tentera-tentera Namrud kerana dituduh memusnahkan Tuhan mereka. Terbang seekor burung berulang-alik dari sebuah sungai ke tempat Nabi Allah itu dibakar. Kecil je burung itu, namanya burung ciak. Apalah sangat air yang dibawa di mulutnya jika nak dibayangkan dengan api yang membakar. Namun, apabila haiwan lain bertanya, burung itu menjawab: "Sekurang-kurangnya ada usaha aku untuk aku selamatkan Nabi Allah itu, moga aku harap boleh jawab di hadapan Allah nanti kalau ditanya.."

Agak-agak, apa sumbangan kita untuk Palestin..?

1 comment:

Nothing Special said...

salam perjuangan.moga usahamu diberkati...