Thursday, December 3, 2009

'Liberal Syariatik' dalam mendepani zaman (Siri 1)

Oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Pendahuluan

Sudah tiba masanya umat Islam perlu memikirkan bagaimana untuk berhadapan dengan cabaran yang begitu hebat khususnya dalam aspek pemikiran serta pemahaman masyarakat terhadap Islam dan syariat Islam.

Umumnya, kita mengetahui bahawa syariat Islam adalah sesuai sepanjang zaman, malah mendahului dalam segenap aspek kehidupan dan ia tidak boleh disangkal lagi. Namun, perlu diingati di sini, ia tergantung kepada siapa yang membawanya dan bagaimana ia dilestarikan mengikut waqi dan uruf tempatan yang menuntut ia sentiasa berubah-ubah.

Hari ini, keperluan kepada perubahan ini, sudah sampai kepada tahap yang mendesak. Para pemikir Islam perlu kembali kepada zaman aktif melakukan ijtihad (research), berpandukan kelimuan yang dimiliki masing-masing.

Ulama terkemuka, Dr Yusuf Al-Qradhawi melahirkan kebimbangannya akan ketinggalan Islam dalam menangani isu dan hukum semasa. Beliau menyebut: “Yang demikian itu kerana masyarakat Islam khsususnya dan masyarakat bukan Islam pada umumnya sedang berada pada masa perkembangannya yang realistik dan dinamik, sesuai dengan fungsinya sebagai sebuah masyarakat. Disamping apa yang telah ada dan sekarang muncul pula dan terus akan muncul yang baru dan hampir tidak terkejar oleh hukum fikah yang ada..” (Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Keunggulan Hukum Islam Menangani Cabaran Zaman)

Apakah kita masih lagi dibuai mimpi menunggu Islam itu akan berubah dengan sendirinya tanpa perlu ada manusia yang mengubahnya? Doktrin Islam rahmatan lil a’lamin (rahmat sepanjang zaman) juga perlu ditafsir dengan baik berpandukan sebuah hadis nabi s.a.w yang menyatakan bahawa akan ada seorang mujaddid (reformis) yang akan memperbaharui (modenisasi) agamanya (Islam) pada setiap seratus tahun.

Cabaran Cara Berfikir

Pemikiran seumpama Islam Liberal menjadi satu-satunya cabaran paling besar umat Islam kini. Dan ia tidak dapat dinafikan kewujudan dan penyebarannya lantaran proses kebebasan berfikir dan mengkaji di dunia ini adalah tidak terbatas.

Malah, Islam sendiri menggalakkan umatnya berfikir dan terus berfikir untuk mencari kebenaran dan ke’logik’an yang tersembunyi pada setiap perintah yang disediakan Allah s.w.t. Maka, peranan pemikiran logik dalam menterjemahkan syariat Allah mesti diadunkan bersama panduan syariat supaya ia tidak tersasar dan membuahkan pemikiran Islam Liberal.

Apa yang bercelaru dalam masyarakat kini, ia adalah pembenihan cara-cara berfikir sesebuah golongan yang lahir daripada kebebasan berfikir tersebut. Tokoh kapitalisme, Adam Smith misalnya, mengagungkan kebebasan ekonomi yang menjayakan siapa dan apa sahaja demi satu matlamat, yakni keuntungan.

Para sosialis pula, mereka mengangkat suara kebajikan lebih utama daripada segala-galanya dalam masyarakat. Manakala kelompok yang berfikiran liberal, hanya menerima logik dan realistik untuk dipercayai dan diikuti.

Menangani Pemikiran Liberal

Jika difikirkan semula, semua ini sudah tersedia di dalam Islam. Apakah Islam tidak memperjuangkan kebajikan dan ekonomi yang menguntungkan, sedangkan ada institusi pembangunan ekonomi Islam melalui pensyariatan zakat yang mengurangkan jurang kemiskinan dan membangunkan ekonomi tanpa penindasan?

2 comments:

tarbiyah_world said...

ye kita perlu bangkit berhadapan dengan cabaran semasa..masyarakat dah semakin jauh hanyut..masalah sosial terutamnya zina dan pembunuhan semakin meningkat..ini adlah disebabkan syariat Allah ditinggalkan...pada mujhid dan mujahidah,sepanjang memperjuangkan syariatullah jangan pula kita terlupa pada sunnatullah..Allah tidak akn mengubah nasib sesuatu umat melainkan umat itu berusaha mengubahnya..inilah sunnatullah..

Aizat Salleh said...

Kepada tarbiyah_world
Masalah paling besar umat Islam sekarang dalah kegagalan dalam memahami waqi dan kondisi masyarakat. Sebab itu banyak keputusan2 yg dibuat tidak kena dan mencalarkan wajah Islam