Saturday, December 5, 2009

'Liberal Syariatik' dalam mendepani zaman (Siri 2)

Oleh hal yang demikian, bagi menangani kecelaruan itu, konsep Islam harus dibuka luaskan dan perlu terus diliberalkan. Namun dalam batas syariat, dan itulah yang dinamakan ‘Liberal Syariatik’. Pemikiran liberal Islam yang terpandu oleh panduan syariat, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, malah diluaskan lagi dengan kaedah-kaedah fiqh yang pelbagai. Bahkan di sana, begitu banyak konsep Islam yang terbuka yang tidak diambil oleh masyarakat Islam untuk diguna pakai dalam kehidupan seharian mereka.

Pemikiran ini bukanlah satu cara untuk menghalalkan apa yang dilaksanakan oleh puak Islam Liberal, bahkan ia sekaligus menjawab keseluruhan mereka yang menganggap Islam ini terlalu jumud dan konservatif serta tidak mengikuti zaman.

Maqasid Syar’iyyah

Islam sekali lagi mengajarkan konsep yang sangat luas di dalam konsep yang perlu digunakan dalam menentukan hukum Islam kepada masyarakat yang pelbagai dan moden ini. Menggunakan kaedah ‘maqasid syar’iyyah’ (tujuan atau objektif disyariatkan satu-satu hukum), ia membuka mata umat Islam dalam memahami Islam yang sebenarnya.

Sebagai contohnya, dalam kewajipan seorang wanita untuk bersama muhrim (suami) tatkala bermusafir yang disebut di dalam hadith nabi s.a.w : ‘Janganlah wanita bermusafir kecuali dengan muhrimnya’ (Hadith marfu’, daripada Ibnu Abbas di dalam al-Shahihain).

Apabila melihat kondisi ketika hadith ini disebutkan nabi s.a.w, Dr Yusuf Al-Qaradhawi menjawab: ‘Pada zaman tersebut kebiasaan berlaku permusafiran dalam jarak yang jauh adalah menggunakan binatang seumpama unta ataupun keldai. Dan ia melalui padang pasir dan lereng-lereng bukit yang hampir-hampir tiada pembangunan malah pekan mahupun kampung. Kalaupun wanita itu tidak ditimpa kemudaratan di sepanjang perjalanan, ia tetap mencemarkan nama baik wanita tersebut.

Tetapi, apabila keadaan telah berubah, seumpama hari ini permusafiran berlaku dengan kapal terbang yang membawa seratus penumpang dan lebih atau kereta api yang membawa ratusan orang bermusafir. Tidak ada ruang lagi di sana untuk merasa bimbang terhadap wanita yang bermusafir seorang diri, maka larangan syarak terangkat dengan perkara itu.’ (Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Perlaksanaan Syariat Islam, Sesuai pada Setiap Tempat dan Masa)

Objektif pensyariatannya adalah supaya wanita itu terpelihara daripada fitnah mahupun bahaya. Walhal, sekiranya perkara-perkara itu dapat ditangani dan selamat dalam perjalanan, tidak perlu lagi untuk muhrim bersamanya. Inilah dinamakan syariat menyesuaikan diri dengan zaman yang berubah.

Fiqh Malaysia

Apakah itu bukan lagi jawapannya kepada mereka yang bertuhankan logika di dalam syariat Islam? Bahkan Islam lebih luas dan adil daripada itu dalam hal-hal pembelaan dan hak kepada kaum wanita, malah, sebutkan sahaja apa yang menjadi pertikaiannya, hukum Islam menjawab persoalan itu.

Bahkan, saya begitu mengagumi seorang pemikir Islam tempatan, Dr Mahmood Zuhdi yang berjaya melahirkan satu gagasan pemahaman hukum Islam tempatan di Malaysia melalui idea ‘Fiqh Malaysia’. Dengan kata lain, hukum Islam adalah berasaskan budaya, adat dan cara hidup masyarakat di Malaysia, sesuai dengan keadaan di Malaysia.

Malah jika boleh lebih dari itu, setiap negeri-negeri di Malaysia, mewujudkan fiqh negerinya sendiri seperti Fiqh Selangor, Fiqh Kelantan dan sebagainya. Ini bukan hendak mencelarukan lagi pemahaman ini, tetapi bukankah ruang ijtihad (research), serta pengkaijan perlu dibuka lebih luas untuk melahirkan hukum-hukum baru yang tepat dengan tempat dan masa?

1 comment:

Mohd Afiq Mohd Saleh said...

wslm wbth d'jat

respon dan cadangan yg baik. aflin memang begitu, lawak bersahaja yg memerlukan khalayak berfikir. filem ini salah satu komedi yg biasa tapi unik jalan ceritanya.

cerita2 islamic yg lewat ini dikeluarkan oleh negara seberang banyak mendapat sambutan oleh melayu seperti kita, di jordan juga usah dikatalah. 'fenomena ketika cinta bertasbih' sudah terbawa-bawa merata.

dari sebahagian aspek memang pulangannya baik kerana mempamerkan institusi perfileman juga mampu dihiasi dengan cerita2 berkisar Islam.

banyak sudah filem2 seberang yg bertemakan seperti itu tersimpan dalam laptop, tapi belum terbuka hati menontonnya. mungkin masa belum memberi ruang.

tetapi, kalau dijat selalu perasan, unsur2 liberal pasti x ketinggalan diselitkan virus LIBERALISME dalam setiap perfileman mereka (indonesia). tidak kira pada filem yg jalan ceritanya berunsurkann Islam sekalipun. apatah lagi filem biasa2.

maklumlah, indonesia ini terkenal dengan negara bebas atau lebih mudahnya SUASANA LEBREALSASI terlalu kuat menguasai rakyat di sana. lalu dari segenap perkara tidak kurang akan dipengaruhi unsur itu. nyanyian, perfileman, ulama, dan lain-lain lagi.

jangan terkejut unsur itu sudah ada di tanah air kita. sedikit demi sedikit sudah menular, terutama soal imej. alasan mereka senang sekali, "sekarang zaman keterbukaan, fikiran mesti mahu terbuka"

ISLAM yg bersifat waqiiyyah ini sudah mengandungi 'positif liberalisasi' di dalamnya, tetapi bukan itu yg pihak barat mahukan. mereka lebih mahu yg luas daripada itu, sehingga keluasan itu mencabar prinsip2 agama yg diciptakan bebas tetapi bersempadan.

artikel 'LIBERAL SYARIATIK' ini mengundang suatu kebaikan untuk membuka semula minda orang2 kita supaya berfikir tentang konsep keterbukaan Islam. Islam amat terbuka, bahkan keterbukaannya kepada umat telah memberikan ruang rukhsah sebagai bukti kesenangan dan kemudahan.

Buktikan dalam artikel ini, bahawa "liberalisasi Islam' lebih terpimpin daripada kebobrokan mereka menglibrealkan agama.

ayuh, julang nama ISLAM. segala-galanya demi ISLAM.

shukran.